Bab9- Lesen Pendudukan Sementara

BAB 9 

KUASA MELESENKAN PENDUDUKAN TANAH KERAJAAN, TANAH LOMBONG DAN TANAH RIZAB

Pihak Berkuasa Negeri bolehlah, membenarkan Pendudukan Sementara di bawah lesen terhadap;

  1. a) tanah Kerajaan;
  2. b) tanah lombong yang pada masa itu tidak digunakan untuk maksud-maksud perlombongan;
  3. c) tanah rizab pada masa itu tidak digunakan untuk maksud-maksud yang ianya dirizabkan ;

 

Lesen Pendudukan Sementara bolehlah dikeluarkan untuk apa-apa maksud selain daripada apa yang dinyatakan oleh seksyen di atas. Lesen-lesen pendudukan sementara bolehlah, boleh dikeluarkan dan diperbaharui oleh Pihak Berkuasa Negeri

a)         dalam hal tanah Kerajaan, dibuat oleh Pentadbir tanah;

b)     dalam hal tanah lombong, dibuat oleh Pentadbir Tanah yang bertindak dengan kelulusan

  • i)  Merinyu Kanan Galian, atau mana-mana pegawai lain yang pada masa itu boleh ditugaskan dengan pentadbiran di dalam Negeri itu mengenai apa-apa undang-undang bertulis yang berkaitan dengan perlombongan, dan juga dengan kelulusan mana-mana pemegang pajakan tanah itu;
  • ii)  orang atau badan yang pada masa itu berhak mendapat kepentingan pajakan atau sijil perlombongan  dalam persoalan;

c)  dalam hal tanah rizab

 

i)  dibuat oleh Pentadbir Tanah yang bertindak dengan kelulusan pegawai pada masa itu mempunyai kawalan ke atasnya; atau

ii)       dibuat oleh Pegawai itu, bila dan setakat mana yang ianya diwibawakan selaku pegawai itu oleh Pihak Berkuasa Negeri;

 

Dengan syarat bahawa tiada apa-apa dalam seksyen ini boleh mewibawakan Pentadbir Tanah untuk mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara mengenai mana-mana sungai sebagaimana yang diisytiharkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta bagi maksud peruntukan ini.

 

 

9.3       CIRI-CIRI TANAH LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA 

Permohonan untuk menggunakan Tanah Kerajaan dengan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) boleh dilakukan dalam keadaan-keadaan berikut :

 

  • Tanah hendaklah digunakan bagi tujuan sementara

Contohnya untuk gerai makanan, pertunjukan wayang Cina, untuk meletak bahan binaan atau hampas bijih (tailing), menanam sayur, menggali kolam untuk ternakan air seperti ikan, udang, ketam, memasang papan iklan, pembinaan jeti, nursery pokok, setor, tempat letak kereta dan lain-lain kegunaan yang berbentuk sementara.

  • Tanah tidak layak diberi milik kerana kedudukannya, seperti di rizab sungai atau rizab jalan.
  • Kerajaan bertujuan menggunakan tanah untuk projek-projek tertentu dalam jangka masa panjang.
  • Bagi tapak rumah awam yang dibina Kerajaan Negeri dengan cara sewabeli. Sementara membayar harga rumah secara ansuran, pemilik mendudukinya dengan LPS.
  • Untuk dua tujuan yang berlainan seperti untuk memetik atau memungut buah koko, kopi, kelapa atau kelapa sawit atau menoreh getah. Apabila seseorang hendak memetik atau memungut buah koko, kopi, kelapa atau kelapa sawit atau menoreh getah yang terdapat atas tanah Kerajaan. LPS dikeluarkan ke atas tanah yang digunakan untuk meletak atau melonggokkan hasil tanaman yang telah dipungut atau dikutip dari kawasan yang telah dibenarkan, selama musim pokok berbuah atau selagi pokok getah boleh ditoreh.

 

 

9.4       SYARAT-SYARAT LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA (SEPERTI DINYATAKAN PADA LESEN BERKENAAN)

 

Fasal (1)          Lesen mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditentukan dan tamat tempoh pada 31 Disember tahun yang sama

Fasal (2)          Lesen tidak boleh diserah hak

Fasal (3)          Lesen akan tamat tempohnya apabila pemegangnya meninggal dunia atau dalam hal sebuah perbadanan setelah penggulungannya

Fasal (4)          tanah tidak boleh digunakan bagi maksud yang lain daripada apa yang dibenarkan; pemegang juga tidak dibenarkan menanam pokok atau tumbuhan kekal atau membina bangunan kekal di atas tanah itu.

Fasal (5)          lesen boleh dibatalkan dengan serta-merta tanpa dibayar pampasan jika pemegang melakukan pelanggaran mana-mana syarikat lesen; jika pembatalan itu dibuat manakala pemegangnya tidak melakukan  apa-apa kesalahan, pampasan akan dibayar.

  • HAK PEMEGANG LESEN

Setiap pemegang lesen bukanlah pemilik multak terhadap Lesen Pendudukan Sementara. Lesen Pendudukan Sementara bermaksud sesuatu kebenaran yang diberikan kepada pemegang-pemegang lessen berkenaan untuk menikmati penggunaan tanah untuk sementara waktu sahaja. Oleh kerana mereka bukanlah pemilik yang sah terhadap sesuatu tanah itu, maka pemegangan lessen tersebut hanya berkuatkuasa untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja. Antara hak-hak yang boleh dinikmati oleh pemegang Lesen Pendudukan Sementara tersebut adalah seperti berikut:

 

9.5.1     Tiada hak mendapatkan pembaharuan

Dalam kes The Bee lwn K.Maruthamuthu [1977] 2 MLJ 7pemegang LPS telah menduduki sebidang tanah selama lebih daripada 20 tahun apabila kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk memberi milik tanah tersebut kepada orang lain. Hakim perbicaraan yang mendengar kes tersebut menyatakan bahawa:

“Seseorang pemegang LPS tidak mempunyai sebarang hak di sisi undang-undang atau ekuiti ke atas tanah yang didudukinya selain hak untuk mendudukinya buat sementara waktu dari tahun ke tahun jika dia dapat memperbaharui lesennya setiap tahun akan tetapi tidak ada sebarang kewaiipan bagi pihak berkuasa untuk membuat pembaharuan bagi mana-mana tahun berikutnya…”

 

9.5.2    Bertindak terhadap peceroboh

Dalam kes Julaikha Bivi lwn Mydin [1961] MLJ 310, pihak plaintif, seorang pemegang LPS, mendakwa bahawa defendan telah menceroboh tanah yang didudukinya. Defendan telah menduduki tanah tersebut sebelum plaintif menerima lesennya daripada Pihak Berkuasa. Dalam pembelaannya, defendan menghujah bahawa plaintif tidak boleh membuat tuntutan itu kerana dia hanya seorang pemegang LPS dan bukan pemilik tanah. Hakim Neal memutuskan bahawa prosiding itu berasas dan defendan boleh diperintah keluar.

 

9.5.3    Lesen Pendudukan Sementara dwimaksud

Dalam kes Mohamed lwn Kunji Mohidin  [1967] 1 MLJ 96, penentang telah LPS dalam tahun 1956. Pada ketika itu terdapat beberapa pokok buah-buahan dan 73 pokok kelapa di tanah itu. LPS tersebut memberi kebenaran kepadanya memetik kelapa daripada 34 pokok kelapa tersebut. Selepas itu Pihak Berkuasa Negeri telah memberi kepada perayu satu LPS untuk tanah yang sama, membenarkan dia menternak ayam di situ. Pihak perayu mungkin salah faham akan haknya, kemudiannya telah menebang 16 pokok kelapa dan 10 pokok buah-buahan tersebut.

Oleh sebab kehilangan sebahagian daripada sumber pendapatannya, penentang telah memulakan tindakan guaman menuntut ganti rugi daripada perayu. Barakbah KHN memutuskan bahawa oleh sebab penentang bukan pemilik pokok-pokok berkenaan, dia tidak berhak menuntut ganti rugi kerana kerugian. Ganti rugi yang boleh dituntutnya Cuma setakat kehilangan pendapatannya daripada pokok kelapa yang ditebang kerana hak yang ada padanya hanyalah untuk memetik kelapa.

 

 

9.5.4    Lesen Pendudukan Sementara tidak boleh dipusakai 

Dalam kes Fatimah lwn Moideen Kutty [1969] 1 MLJ 72, penentang telah menduduki sebidang tanah yang sebelumnya telah diduduki oleh suami perayu sebagai pemebang LPS. Oleh sebab tidak mengetahui tentang kematian suaminya dalam tahun 1962, Pemungut Hasil Tanah telah memperbaharui LPS untuk tahun yang berikutnya (1963) atas nama suami perayu. Selepas diberitahu tentang kematian tersebut, Pemungut Hasil Tanah telah enggan memperbaharuinya lagi bagi tahun yang berikutnya. Dalam prosiding di Mahkamah Majistret, perayu telah menuntut sewa daripada penentang bagi tempoh 1 Julai 1964 hingga 28 Februarui 1965. Tuntutan tersebut telah ditolak oleh mahkamah kerana tidak berasas dan keputusan ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Kedudukan undang-undang sudah pun selesai beberapa tahun sebelumnya dalam kes Papoo lwn Veeriah [1965] 1 MLJ 127. Dalam kes tersebut balu dan pentadbir harta si mati (seorang pemegang LPS) telah membuat permohonan di mahkamah bagi mendaoatkan perintah memindah milik kepadanya sebagai waris tunggal harta di mati iaitu sebuah rumah yang telah dibangunkan di atas tanah LPS itu semasa hayat suaminya. Ketika menolak permohonan itu, Hakim Good menyatakan bahawa:

LPS, sebagaimana yang tersirat daripada namanya, ialah satu lesen menududki dan tidak lebih daripada itu… lesen itu adalah untuk kegunaan pemegang sendiri, ia mati bersama pemegangnya.

Kes Papoo lwn Veeriah telah mengesahkan bahawa bukan hanya tanah bahkan apa sahaja yang dibina di atasnya tidak boleh dipindah milik oleh pemegangnya semasa hidupnya atau dipusakai oleh warisnya, sama ada menerusi wasiat atau sebaliknya.

 

 

9.5.5    Hak membuat penyewaan

Dalam kes Govindaraju lwn Krishnan [1962] MLJ 334 yang telah diputuskan sebelum KTN dikuatkuasakan, pemegang LPS telah menyewakan dua bilik di rumahnya yang telah dibina di atas tanah tersebut kepada penentang dengan sewa sebanyak $30 sebulan. Penyewaan ini kemudiannya telah ditamatkan oleh satu notis bertulis, tetapi penentang enggan meninggalkan rumah tersebut. Dia mendakwa bahawa penyewaan tersebut menyalahi undang-undang, tidak sah dan tidak berkuatkuasa langsung. Mengikut mahkamah persoalan yang perlu diputuskan ialah sama ada penyewaan bulanan dua bilik rumah tersebut berupa pindah milik atau percubaan memindah milik hak dan kepetingan perayu di bawah LPS tersebut.

9.5.6    Tiada hak menjual 

Jika mahkamah bersedia membenarkan pemegang LPS menyewakan bangunannya, sama ada sebahagian atau keseluruhannya, kepada orang lain, oleh sebab penyewaan sedemikian rupa tidak bersifat pindah milik atau serah hak yang dilarang, mahkamah telah dengan ketegasan yang sama menghalang sebarang pindah milik atau penjualan bangunan yang didirikan itu. Dalam kes Hee Cheng lwn Krishnan [1955] MLJ 103, plaintif telah menuntut perlaksanaan spesifik ataupun ganti rugi kerana kemungkinan kontrak perjanjian jual beli rumah yang didirikan atas tanah Lesen Pendudukan Sementara.

 

9.6       JANGKAMASA SERTA BENTUK LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA

 

Oleh kerana hak pemegangan Lesen Pendudukan Sementara adalah tidak mutlak, maka tempoh pemegangan lesen tersebut adalah untuk tempoh sementara waktu sahaja. Dengan demikian, jangka masa pemegangan lesen tersebut adalah seperti berikut:

(1)        Tiap-tiap lesen pendudukan sementara selain dari dikeluarkan bagi tujuan untuk mengeluarkan dan mengambil bahan batuan) hendaklah dikeluarkan bagi satu tempoh yang tamat tidak lewat daripada penghujung tahun kalendar yang ianya bermula; dan bolehlah diperbaharui pada tiap-tiap tahun;

(2)        Lesen yang dikeluarkan untuk maksud membolehkan mana-mana pertunjukan awam atau hiburan diadakan bolehlah dikeluarkan untuk apa-apa tempoh lain sebagaimana yang sesuai dalam tempoh masa perlaksanaan aktiviti berkenaan.

Tiap-tiap lesen pendudukan sementara akan mempunyai kesan-kesan tertakluk kepada apa-apa peruntukan sebagaimana yang terkandung di dalamnya, setakat mana yang tidak bercanggah dengannya, kepada apa-apa peruntukan lain yang akan ditetapkan.

(4)        Tertakluk kepada syarat di bawah mana satu lesen pendudukan sementara telah dikeluarkan, Pentadbir Tanah bolehlah atas permohonan oleh pemegang lesen membaharui lesen sedemikian itu bagi satu tempoh yang tidak lebih dari satu tahun kalendar:

(5)        Sesuatu lesen itu, tidaklah boleh ada lebih dari tiga pembaharuan yang dibuat mengenai sesuatu lesen pendudukan sementara melainkan suatu kebenaran bertulis yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri telah didapati terlebih dahulu.

(6)        Tiap-tiap lesen pendudukan sementara selain daripada bagi tujuan permit pengeluaran batu-batuan hendaklah dibuat di atas Borang 4A, dan dalam hal pembaharuan lesen sedemikian itu hendaklah dicatiterakan suatu nota pembaharuan itu dan tarikh yang ianya dijangka tamat.

 

 

9.7       PERMIT MENGAMBIL, MENGALIH DAN MENGANGKUT BATU-BATAN

 

Seksyen 70 hingga s 75 Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang ingin mendapat hak untuk mengambil, mengalih atau mengangkut batu batan perlulah mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa negeri. Kebenaran bertulis yang sedemikian itu disebut “permit “mengambil, mengalih dan mengangkat batu-batan”.

Jadi, dalam melakukan perbuatan “mengambil, batu-batan” bererti mengambil sari atau memerah batu-batan dari tanah tempat ditemui batu-batan itu. Perbuatan ‘mengalih’ pula bermaksud ’membawa pergi’ atau ‘membawa keluar’. Perbuatan ‘mengangkut’ pula bermaksud ‘membawa atau memindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain’. Dengan demikian, perbuatan mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan bermaksud mengambil sari batu-batan dari tanah berkenaan, membawanya pergi atau mengeluarkannya dan memindahkan atau membawa batu-batan itu ke tempat lain.

Takrif ‘batu-batan’ diberikan oleh seksyen 5, Kanun Tanah Negara iaitu bermakna sebarang batu besar, batu kecil, granit, batu kapur, marmar, kerikil, pasir, tanah, laterit, tanah gembur, tanah liat, tanih, lumpur, tanah berumput, tanah gambut, batu karang, kulit kerang atau baja asli tahi burung di dalam atau di atas sebarang tanah dan termasuk juga sebarang batu-bata, batu kapur, simen atau komoditi lain yang diperbuat daripadanya.

 

 

9.7.1     Prasyarat Pemberian Permit 

Pihak berkuasa, negeri boleh mengeluarkan permit bagi maksud mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan dari tanah negeri, tanah beri milik, tanah lombong dan tanah rizab. Walau bagaimanapun, permit yang dikeluarkan itu tidak termasuk untuk maksud mendapatkan logam dan galian daripada batu-batan berkenaan.

Seperti juga Lesen Pendudukan Sementara, sesuatu permit yang dikeluarkan untuk mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan, dalam Kanun Tanah Negara tidak boleh dikeluarkan bagi maksud mengambil hasil hutan.

Jika tanah yang akan diberikan permit mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan itu merupakan tanah beri milik, maka mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara, permit berkenaan hanya boleh dikeluarkan kepada tuan punya tanah berkenaan, dan boleh juga permit berkenaan dikeluarkan kepada orang lain selain  tuan punya tanah jika tuan punya tanah itu memberi persetujuan.

Begitu juga jika permit mengambil, mengalih, mengangkut batu-batan itu melibatkan tanah lombong, kelulusan pemeriksa kanan lombong perlu diperoleh. Permit Cuma boleh dikeluarkan kepada orang atau badan yang berhak mendapat faedah daripada pajakan atau sijil lombong itu atau kepada mana-mana orang lain selain orang atau badan itu jika orang atau badan itu bersejutu.

 

 

9.7.2    Tujuan Pemberian Permit 

Seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara bahawa pemberian hak milik, pajakan atau Lesen Pendudukan Sementara tidak termasuk memberi hak kepada pemegang hak milik, pemegang pajakan atau pemegang Lesen Pendudukan Sementara untuk mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan keluar dari sempadan tanah berkenaan kecuali orang berkenaan (dan orang-orang lain) diberi permit di bawah Kanun Tanah Negara. Dengan kata lain, pemberian permit sedemikian membolehkan orang berkenaan yang diberi permit melakukan kegiatan mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan keluar dari sempadan tanah berkenaan. Permit juga ‘menghalalkan’ apa-apa larangan yang dikenakan kepada pemilik tanah beri milik atau pajakan itu.

 

 

9.7.3    Tempoh Permit

Pada kebiasaannya, setiap permit mempunyai tempoh sah laku sehingga hujung tahun kalendar permit itu bermula. Dengan demikian, permit tersebut serupa dengan tempoh Lesen Pendudukan Sementara yang telah dibincangkan sebelum ini. Permit berkenaan tetap akan tamat walaupun kuantiti batu-batan yang dibenarkan diambil, dialih dan diangkut seperti yang dinyatakan dalam permit masih belum dicapai.

Selain tamatnya tempoh sesuatu permit pada penghujung tahun (pada 31 DIsember), permit itu juga boleh ditamatkan terlebih awal oleh pihak berkuasa negeri atas alasan pemegang permit telah pecah syarat sebarang peruntukan atau syarat permit. Permit berkenaan juga akan tamat lebih awal jika pemegangnya menyerah balikpermit berkenaan kepada pihak berkuasa negeri.

Pihak berkuasa negeri juga berhak atas budi bicaranya, menamatkan permit itu lebih awal dari tempoh sebenarnya tanpa memberi apa-apa sebab. Jika ini dikalukan oleh pihak berkuasa negeri, pampas an hendaklah diberi dengan amaun yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak atau seperti yang diputuskan mengikut Kanun Tanah Negara.

Seterusnya, mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara bahawa tempoh sesuatu permit juga akan tamat apabila pemegang permit itu mati (jika ia orang perseorangan) atau dibubarkan (jika ia suatu badan).

 

 

9.7.4    Hak Pemegang Permit

Oleh sebab permit yang dikeluarkan ialah permit mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan, sudah tentulah orang atau badan yang diberi permit sedemikian berhak melakukan kegiatan mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan. Perkara ini telah pun dibicangkan sebelum ini. Pada hakikatnya, walaupun permit sedemikian memberi suatu hak kepada pemegang permit tetapi hak sedemikian hanyalah dalam tempoh permit berkenaan berkuat kuasa, dan bagi jenis batu-batan seperti yang dinyatakan dalam permit juga. Kadang kala permit berkenaan membenarkan pemegang permit melakukan serahhak.

Seperti juga pemegang Lesen Pendudukan Sementara, pemegang permit mengambil, mengalih dan mengangkut batu-batan juga mempunyai hak mengenepikan penceroboh yang menceroboh hak-hak yang dinyatakan dalam permit.

 

 

Leave a comment