Bab10-Tanah Simpanan Melayu

10.1        PENGENALAN

Perlembagaan telahpun menetapkan peruntukan supaya Tanah Simpanan Melayu diwujudkan di dalam negara. Pembentukan enakmen Tanah Simpanan Melayu telahpun bermula sejak dahulu lagi oleh Inggeris sama ada di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Enakmen tersebut mengandungi syarat-syarat pengisytiharan Tanah Simpanan Melayu. Untuk memulakan pengajian mengenai Tanah Simpanan Melayu, eloklah didahului dengan penerangan mengenai sejarah pembentukan enakmen Tanah Simpanan Melayu di Tanah Melayu. 

10.2       SEJARAH PEMBENTUKAN ENAKMEN TANAH SIMPANAN MELAYU

Kehilangan hak milik orang Melayu yang berpunca daripada bebanan hutang dan juga penjualan untuk tujuan di luar daripada pertimbangan ekonomi mendapat perhatian kerajaan Inggeris. Untuk mengelakkan keadaan ini daripada berlanjutan, beberapa langkah telah di ambil bagi menyelamatkan orang Melayu daripada mengalami keadaan tidak bertanah. Seawal-awalnya sejak tahun 1908 lagi masalah kehilangan hak milik orang Melayu ini sudah dibincangkan. Dalam persidangan Residen-Residen yang di adakan pada bulan Oktober 1908, beberapa cadangan telah di kemukakan. Pemangku Residen Perak, Brockman mencadangkan supaya diadakan satu sekatan terhadap pajakan tanah orang Melayu kepada orang bukan Melayu. Cadangan Brockman ini telah di sokong oleh Campbell, iaitu Residen Negeri Sembilan yang juga mengusulkan supaya diadakan satu kawasan Simpanan Melayu bagi kawasan-kawasan perkampungan orang Melayu. Namun cadangan Campbell ini tidak dipersetujui oleh Residen General Taylor dengan alasan ia tidak praktikal dan menurunkan nilai tanah orang Melayu. Oleh itu, usul ini tidak dijadikan minit mesyuarat untuk diperbincangkan selanjutnya. Dua tahun kemudiannya masalah ini dibincangkan semula apabila Setiausaha Kerajaan NMB meminta  Residen di setiap negeri meninjau dan melaporkan masalah penjualan tanah orang Melayu yang diserapkan menjadi aset getah.(Ahmad Nazri Abdullah, Melayu dan Tanah, ms 62-63).

Berikutan daripada ketetapan yang dicapai oleh Residen-Residen dalam persidangan November 1911 itu, Penasihat Undang-undang NMB, Fredrick Belfield, kemudiannya menyediakan satu draf undang-undang khusus mengenai masalah kehilangan hak milik tanah kampung orang Melayu. Draf tersebut bertajuk “ Enakmen untuk mengekalkan Tanah Kampung bagi kegunaan orang Melayu”, yang di keluarkan kepada umum pada April 1912. Draf tersebut menegaskan bahawa tujuan undang-undang itu adalah untuk menjaga hak milik orang Melayu dan bukan untuk menyekat kegiatan mereka daripada mencari keuntungan melalui spekulasi penjualan tanah. Tindakan ini adalah penting kerana berkait langsung dengan proses pengawalan tanah kampung orang Melayu.

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada 15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933. Pada tahun 1935 ERM 1933 ini telah disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga ke hari ini. Negeri-negeri lain kemudiannya turut mengwujudkan ERM mereka masing-masing iaitu

  • ERM Kelantan 1930
  • ERM Kedah 1931
  • ERM Perlis 1935
  • ERM Johor 1936
  • ERM Terengganu 1941

British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.

 

10.2.1   Tujuan Pengisytiharan

  • Untuk mewujudkan satu kawasan Rizab Melayu
  • Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu
  • Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu

10.2.2   Tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu

  • Tanah Kerajaan
  • Tanah Hutan Simpan
  • Tanah Rizab Awam
  • Tanah Milik

 

10.2.3   Syarat-syarat Pengisytiharan

  • Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]
  • Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuktanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberimilik pada orang ramai termasuk Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagan Persekutuan]
  • Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan]
  • Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Rujuk Perkara 89(4) Perelembagan Persekutuan]
  • Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu [Sek.3(1)ERM Kedah]
  • Dibawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding’]

10.2.4   Pembatalan Tanah Rizab Melayu

 

Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan. Umumnya, sesuatu kawasan TRM boleh dibatalkan. Dalam hal ini, pihak berkuasa seperti Menteri Besar harus bijak dalam memainkan peranan agar pembatalan ke atas TRM yang di lakukan adalah benar-benar menjadi keperluan untuk kepentingan awam. Hal ini kerana, Menteri Besar dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) merupakan dua aktor yang penting dalam proses pembatalan TRM ini. Pembatalan TRM ini dilakukan dengan Menteri Besar meminta kelulusan daripada PBN untuk membatalkan mana-mana simpanan Melayu sama ada kesemua atau mana-mana bahagian di dalamnya. Ini bermakna, kesemua tanah simpanan melayu yang telah di gezetkan sebagai TRM sebenarnya boleh dibatalkan.

Setelah itu, isu ini akan dipanjangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dibawa ke Parlimen, sekiranya ia diluluskan maka pengisytiharan akan dilakukan di dalam warta kerajaan yang menyatakan bahawa, kawasan TRM di kawasan yang telah dinyatakan akan dibatalkan untuk tujuan pembangunan. Selepas proses tersebut, Menteri Besar akan menyerahkan permohonan (Borang C) kepada pihak pendaftar yang berkenaan. Seterusnya, ingatan dimasukkan ke dalam dokumen hakmilik daftaran. Ini adalah bagi mendapatkan dokumen hakmilik keluaran dari tuan tanah tersebut dan memasukkan peringatan ke dalam dokumen hakmilik keluaran. Setelah itu, maka Menteri Besar dengan Kelulusan PBN bolehlah mengisytiharkan sebagai simpanan Melayu bagi mana-mana tanah yang serupa dengan jenis dan luas tanah simpanan yang telah dibatalkan sebagai ganti semula.

 

10.3    TAKRIFAN MELAYU MENGIKUT UNDANG-UNDANG

 

10.3.1   Takrif Melayu Johor

Melayu sebagai mana-mana bangsa Malaysia yang lazimnya bercakap bahasa melayu atau mana-mana bahasa Malaysia dan menganuti ugama Islam dan perbahasaan itu hendaklah disifatkan sebagai pihak berkuasa, lembaga pertubhan persatuan dan syaraikat yang diperuntukkan dalam Jadual 6, Enekman Tanah Rezab Melayu Johor.

Walau bagaimanapun, raja dalam mensyaurat boleh dari masa ke semasa dengan mengunakan perintah dalam warta Kerajaan Negeri  boleh meminda jadual berkenaan.

 

10.3.2   Takrif  Melayu Di Kedah

Melayu sebagai seorang yang menganut agama islam dan lazimnya bercakap bahasa melayu yang sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibubapanya adalah berpabgsa melayu atau berketururnan Arab. Sekiranya wujud sebagai pertikaian mengenai bangsa melayu, maka rujukan hendaklah dibuat kepoada raja dalam menysuarat

 

10.3.3   Takrif  Melayu di Kelantan

Melayu sebagai seorang daripada mana-mana bangsa “malaysan” yang bercakap mana-mana bahasa Malayan dan menganut ugama islam dan hendaklah termasuk Majlis Ugama islam, Pentadbir Tanah yang bertindak sebagai pentadbir atau pemegang amanah bagi harta pesaka siati orang melayu Sekiranya wujud sebagai pertikaian mengenai bangsa melayu, maka rujukan hendaklah dibuat kepoada Pihak Berkuasa Negeri untuk keputusan.

10.3.4   Takrif  Melayu di Perlis

Di dalam Enakmen Rizab Melayu bagi Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (FMS), Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor telah memberi tafsiran Melayu yang berbeza – beza, tetapi pada asasnya ia mengandungi 3 elemen serentak di dalam mentafsirkan seseorang itu Melayu, iaitu

  1. a) Berketurunan Melayu atau “Malayan”.
  2. b) Bertutur di dalam Bahasa Melayu atau “Malayan”, dan
  3. c) Beragama Islam.

“Malayan” adalah merujuk kepada etnik – etnik Melayu yang terdapat atau berasal dari gugusan kepulauan Melayu yang terdiri dari suku Banjar, Jawa, Minangkabau, Bowean, Patani, Bugis, Medahiling, Borneo dan lain – lain. Kepulauan Nusantara Melayu adalah merangkumi Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Pulau Singapura, Pulau Sumatera, Kepulauan Jawa, Kepulauan Riau-Lingga, Borneo, Filipina, Makasar (Kepulauan Bugis) dan Pulau Krismas.

 

10.4      URUSNIAGA DAN SEKATAN TANAH SIMPANAN MELAYU

 

Seksyen 7, tiada tanah kerajaan yang termasuk dalam perizapan melayu boleh dijual, dipajak atau dilepaskan dengan cara lain kepada mana-mana orang yang bukan melayu. Ini bermakna tanah kerajaan tersebut tidak boleh diberimilik, diberi lesen atau permit atau dipajak untuk tujuan perlombongan kepada bukan melayu.

Walau baigaimanapun, pemberimilikan boleh dibuat kepada orang-orang atau badan-badan yanf tercatat dalam Jadual Ketiga Enakmen dan tanah kerajaan yang diberimilik kepada badan-badan ini dianggap sebagai pegangan melayu.

Tujuan peruntukan ini membolehkan tanah dibermilik kepada mana-mana badan berkanun tertentu dan badan-badan lain yang memberi perkhidmatan untuk kepentingan orang-orang melayu.

Seksyen 8 enakmen melarang pindahmilik mana-mana pegangan melayu kepada bukan melayu. Walau bagaimanapuin, pindahmilik bersilang tanah0tanah berkenaan setelah dipecah-sempadan yang dipegang oleh orang melayu dan bukan melayu adalah dibenarkan.

Seksyen 8 juga melarang digadai mana-mana pegangan melayu kepada bukan melayu. Walau bagaimanapun seksyen 17 enekmen, pemilik-pemilik tanag boleh menggadaikan tanah mereka kepada Menteri Besar.

Seksyen 17 juga membenarkan TRM digadai kepada mana-mana badan tertentu sepertimana diperuntukkan di bawah Jadual Kedua enekmen. Ia bertujuan membolehkan pemilik tanah mendapatkan pinjaman.

Seksyen 8 juga melarang pemajakan pegangan melayu kepada bukan melayu. Walau bagaimanapun, seksyen 17 enekmen, pemajakan tanag kepada Menteri Besar adalah dibenrkan.

Seksyen 8 juga melarang penyempurnaan mana-mana suratcara urusan berkenaan dengan TRM oleh mana-mana pihak yang bertindak di bawah mana0mana surat kuasa sekiranya orang terlibat adalah bukan melayu.

Seksyen 10 enekmen melarang mewujudkan lien ke atas pegangan melayu walaupun untuk faedah orang melayu. Walau bagaimanapun di bawah seksyen 17 enakmen lien boleh diwujudkan untuk faedah menteri besar dan mana-mana orang yang ditentukan dalam jadual kedua.

Seksyen 11 menyatakan bahawa tiada kaveat sendirian atau kaveat amanah boleh didaftar berkenaan dengan pegangan melayu jika orang yang memasukkan kaviet itu adalah bukan Melayu.

Seksyen 12 melarang meletakhak pegangan Melayu kepada pegawai pemegang harta apabila tuanpunyanya jatuh bengkrap. Jika ada permohonan daripada pegaqwai pemegang harta untuik mendaftarkan tanah tersebut, maka permohonan tersebut hendaklah ditolak.

Seksyen 13 menyatakan bahawa tiada pegangan Melayu boleh ditahan dalam menyempurnakan dikri atau perintah mana-mana mahkamah.

Seksyen 15 melarang meletakhak mana-mana pegangan Melayu kepada mana-mana wasi atau pentadbir yang bukan orang melayu di bawah pemberian probet dan surat mentadbir pesaka.

Seksyen 16 memperuntukan bahawa jika mana-mana tanah yang termasuk dalam perizapan Melayu dibebankan tanah itu boleh dijual di atas permintaan pemegang bebanan tetapi tanah itu tidak boleh dijual kepada orang bukan melayu jika pada tarikh pendaftaran bebanan itu tunapunya yang tunggal atau tiap-tiap tuanpunya bersama adalah orang Melayu dan pada tarikh itu tanah telah dimasukkan dalam perizapan Melayu FMS Cap 142.

Seksyen 18 membenrkan pindahmilik mana-mana tanah yang termasuk dalam perizapan Melayu atau mana-mana bahagiannya yang belum dipecahkan kepada pemegang amanah raya sebagai pemegang amanah untuk orang Melayu.

Seksyen 18 juga membenarkan pemindahan harta mana-mana pegangan Melayu kepada pemegang manah raya atau kepada pentadbir resmi sebagai wakil orang Melayu.

 

 

  • Isu dan masalah dalam melaksanakan pembangunan di Tanah Rizab elayu

 

Sesuatu yang menarik perhatian apabila Enakmen Tanah Rizab Melayu yang diperkenalkan oleh kerajaan British merupakan satu set undang-undang tanah khusus kepada orang Melayu bermatlamat melindungi dan menjaga kepentingan  tanah orang Melayu. Enakmen Rizab Melayu adalah undang-undang tanah khusus yang berkuatkuasa sejajar dengan undang-undang umum yang terpakai secara seragam di Semenanjung Malaysia iaitu Kanun Tanah Negara 1965 dan ianya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri (Resali Muda, 2009, 130).

Menurut Seksyen 13A Enakmen Tanah Rizab Melayu 1930, mana-mana tanah dalam kawasan rizab Melayu boleh dipindah milik kepada orang bukan Melayu hanya dengan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri atau Raja dalam Mesyuarat (Ruler in Council). Namun, bagi tanah-tanah yang diperolehi sebelum kawasan tersebut diisytiharkan sebagai kawasan rizab Melayu adalah dikecualikan daripada peruntukan ini. Walau bagaimanapun, arus pembangunan yang dikecapi kini telah menyebabkan timbul beberapa isu berhubung dengan tinjauan perlaksanaan pembangunan di Tanah Rezab Melayu dari segi ekonomi, sosiopolitik dan fizikal TRM.

 

10.5.1         Isu TRM yang tidak ekonomik     

Isu yang biasa timbul berkenaan dengan perlaksaan pembangunan di Tanah Rizab Melayu sering diperkatakan. Kebiasaanya kedudukan TRM terletak jauh di pendalaman sesebuah kawasan dan tidak ekonomi untuk diusahakan. Keadaan ini disebabkan sejak zaman penjajahan kebanyakan tanah yang luas dan subur dimiliki oleh pengusaha ladang dan ternakan (Ahmad Nazri Abdullah, 1985). Orang Melayu ketika zaman penjajahan British digalakkan untuk menjalankan aktiviti yang berasaskan pertanian seperti cucuk tanam. Hal yang sedemikian, mengakibatkan kebanyakan lokasi TRM berada di kawasan pendalaman dan luar bandar dan sekaligus menyukarkan pihak-pihak pemaju projek untuk melaksanakan pembangunan kerana mereka perlu mengambilkira mengenai kesesuaian dan risiko yang bakal dialami.

Sebagai contoh, pembangunan seperti sekolah atau perumahan tidak dapat dilaksanakan kerana tiada penduduk yang akan menetap akibat jauh dari kawasan bandar dan pusat kegiatan ekonomi. Oleh itu, kawasan TRM yang terletak di luar bandar kurang menarik minat pemaju untuk dibangunkan. Keadaan ini berbeza bagi kawasan TRM yang terletak berdekatan pembangunan seperti pusat bandar kerana berpotensi untuk diambil oleh pihak kerajaan melalui Pengambilan Tanah. Pengambilan Tanah yang dibuat diperuntukkan melalui Akta Pengambilan Tanah, 1960 menyatakan mana-mana pemilik TRM akan dibayar pampasan yang mana penilaian bagi pampasan tanah adalah berasaskan kepada nilai pasaran sedia ada.

Namun di dalam Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan menyifatkan jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian  daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan adalah tidak sah. Hal ini bermaksud, TRM boleh dibatalkan kerizabannya tetapi dengan syarat perlu diganti dengan tanah yang sama luas dan sama jenis.

 

10.5.2        Isu jaminan pengekalan hakmilik TRM

Selain itu, mengenai jaminan pengekalan hakmilik TRM turut menjadi isu dan masalah dalam melaksanakan pembangunan di negara Malaysia. Penglibatan pemilik TRM secara langsung dalam pembangunan perlu dijalankan bagi mengelak pengambilan tanah oleh pihak kerajaan negeri dan supaya hakmilik TRM tidak jatuh ke tangan orang bukan Melayu. Hal ini demikian kerana jika TRM yang dimiliki oleh orang Melayu tidak diusahakan, berkemungkinan pihak kerajaan negeri boleh mengambil tanah tersebut untuk menjalankan pembangunan yang bersesuaian. Pendekatan yang sewajarnya perlu dilaksanakan seperti secara usaha-sama, sama ada syarikat Melayu ataupun koperasi. Sokongan dan perhatian daripada pihak kerajaan dan agensi-agensi lain yang berterusan turut diperlukan dalam menjamin pengekalan hakmilik TRM. Namun bagi mengelakkan perlaksanaan pembangunan TRM tidak bertukar hakmiliknya kepada orang bukan Melayu, campurtangan badan-badan kerajaan tersebut perlu diberi jaminan.

10.5.3        Isu sekatan dan pertindihan hakmilik TRM

 

Antara isu dan masalah lain yang diketengahkan ialah berkaitan dengan pembangunan kampung-kampung Melayu di bandar dalam kawasan TRM. Punca terhadap perkampungan  ini terus terpinggir dari arus pembangunan ialah dari aspek perundangan TRM walaupun pelbagai program pembangunan telah dirancang. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh sekatan dan pertindihan hakmilik tanah serta pemilik tidak mampu untuk membangunkan tanah mereka telah menyekat potensi pelaburan hartanah untuk berkembang maju. Sebagai contoh, perkampungan Melayu  di bandar mengalami aliran pembangunan yang agak perlahan jika dibandingkan dengan kepesatan pembangunan yang ada di kawasan bandar dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Hal ini demikian menyebabkan wujud ketidakseimbangan pembangunan yang mana mengakibatkan perkampungan tersebut terpinggir di sebalik arus kemodenan bandar meskipun memiliki potensi untuk dibangunkan terutamanya dari aspek hartanah. Keadaan ini disebabkan oleh pertindihan hakmilik ke atas TRM tersebut yang menyebabkan sukar untuk menerima pembangunan. Situasi ini boleh berlaku apabila, dalam rancang sesuatu pembangunan tersebut pemilik hendaklah terlebih dahulu mengadakan proses rundingan bagi memilih sama ada igin melibatkan diri dalam pembangunan yang dijalankan ataupun sebaliknya. Kadang-kala, proses rundingan tersebut mungkin akan mengalami kegagalan. Hal ini sudah tentu akan menyukarkan proses pelaksanaan pembangunan di Tanah Rizab Melayu ini.

 

6.4 Isu kekurangan modal pelaksanaan pembangunan        

Halangan terhadap perlaksanaan pembangunan TRM juga disebabkan oleh keengganan institusi kewangan untuk melabur. Umum mengetahui bahawa penduduk yang menetap di kawasan TRM adalah golongan miskin dan mereka tidak berupaya untuk membiayai pembangunan yang hendak dilaksanakan. Keadaan ini menyebabkan punca institusi kewangan enggan melabur kerana sekatan perundangan Enakmen Rizab Melayu (ERM) seperti sekatan terhadap pindahmilik, cagaran atau pajakan kepada bukan Melayu yang dimasukkan dalam enakmen tersebut (Helmi Hussain, 1999). Sebagai contoh, sekatan dengan mengehadkan urusniaga TRM hanya kepada orang Melayu dan syarikat. Namun pengecualian tetap diberikan di bawah seksyen 17 Enakmen Tanah Rezab dan terdapat juga urusniaga yang dibenarkan kepada syarikat dan koperasi yang diluluskan oleh Menteri Besar atau mana-mana orang yang dinyatakan dalam Jadual Kedua enakmen.

Oleh hal yang demikian, secara tidak langsung pemilik-pemilik TRM sukar untuk memajukan serta membangunkan kawasan mereka kerana tidak mendapat bantuan kewangan dari institusi-institusi kewangan biasa. Tambahan pula, institusi-institusi kewangan yang dipegang oleh orang-orang Melayu juga masih belum bersedia untuk mengambil TRM sebagai “debenture” kerana tanah tersebut tidak boleh dilelong seperti tanah pegangan bebas setelah tempoh pinjaman dengan cagaran TRM tamat. Di samping itu, masalah melaksanakan pembangunan di TRM juga disebabkan oleh pemilikan tanah yang dijalankan secara beramai-ramai yang diwarisi secara warisan sejak dahulu. Apabila sesebuah tanah dimiliki secara beramai akan menyebabkan tanah terbabit sukar untuk dibangunkan dan tanah berkenaan tidak dapat menghasilkan pulangan pendapatan ekonomik terutamanya terhadap tanah-tanah yang terletak di kawasan desa. Jika berterusan, keadaan ini akan menyebabkan tanah-tanah tersebut menjadi tanah terbiar dan tidak mendatangkan hasil kepada pemegang tanah sedia ada. Walaupun mempunyai tanah tetapi taraf ekonomi pemilik-pemilik tanah akan menjadi semakin rendah selaras dengan keadaan ekonomi negara pada masa kini.

 

6.5 Isu sistem pewarisan pusaka TRM

Selain itu, sistem mempusakakan tanah turut menjadi isu dan masalah dalam menjalankan pembangunan di TRM. Terdapat segelintir orang-orang Melayu iaitu pemilik tanah yang mengamalkan sistem mempusakakan tanah telah menyebabkan lot-lot tanah menjadi semakin kecil di samping mempunyai pemilik yang ramai. Dalam sesetengah kes mendapati tanah yang mempunyai lot berkeluasan 0.01 hektar mempunyai hampir sepuluh pemilik. Keadaan ini demikian menyebabkan pembangunan di tanah tersebut sukar untuk dibangunkan dan dimajukan kerana tiada persetujuan daripada semua pemilik kerana terdapat sesetengah kes yang mana pemiliknya tidak dapat dikesan. Kesan daripada pemilikan lot-lot tanah yang kecil juga menyebabkan tanah tersebut tidak dapat dibangunkan kerana kurang potensi.

Selanjutnya, TRM turut dibebani dengan pelbagai masalah lain seperti perselisihan di antara anggota keluarga, penghijrahan anak muda ke bandar untuk mencari pekerjaan di samping nilai komersial yang tidak memberangsangkan. Masalah dalaman yang dihadapi ini juga sedikit sebanyak telah mengugat pelaksanaan kemajuan bagi Tanah Rizab Melayu. Seperti yang kita sedia maklum, anggota keluarga merupakan tampuk kepimpinan bagi tanah yang didiami tersebut. Oleh itu, apabila terdapatnya perselisihan faham diantara keluarga sudah tentu akan menyukarkan kesatuan untuk membangukan tanah tersebut ke arah yang lebih komersial. Sering kali permasalahan ini dikaitkan dengan perebutan pusaka dalam kalangan waris.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan gaya hidup golongan muda masa kini yang lebih suka untuk berhijrah ke kawasan bandar. Oleh kerana, golongan muda merupakan pewaris Tanah Rizab Melayu ini, maka mereka sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam mencari hala tuju baru dalam membangunkan TRM tersebut. Inikan pula mereka lebih rela mencari peluang pekerjaan di bandar berbanding memperjuangkan atau mengusahakan tanah mereka. Hal ini menyukarkan pihak pentadbiran tanah melakukan pembangunan ke atas tanah tersebut atas faktor perundingan yang mungkin memakan masa yang panjang. Keadaan ini ternyata telah menyulitkan pelaksanaan pembangunan di kawasan Tanah Rizab Melayu ini.

 

6.6 Masalah infrastruktur dan kemudahan awam

Masalah kekurangan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan awam turut berlaku terhadap TRM. Senario semasa menunjukkan keadaan TRM masih tidak terancang dan tersusun secara menyeluruh dalam penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur kepada orang awam. Ketiadaan penyediaan ruang yang mencukupi untuk dirizabkan sebagai kemudahan awam dan infrastruktur  seperti sekolah, masjid, jalanraya, bekalan air dan kemudahan-kemudahan orang awam yang lain antara sebab yang telah dikenalpasti. Semasa pihak British mewujudkan TRM, mereka tidak menitikberatkan keperluan manusia menyebabkan penyediaan rizab-rizab kemudahan ini diabaikan. Keadaan ini sekaligus mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sesuatu kawasan tanah simpanan Melayu.

Seperti yang kita sedia maklum, kemudahan infrastruktur merupakan suatu perkara yang amat penting untuk dititikberatkan demi menjamin keberkesanan pembangunan yang ingin dicapai. Memandangkan, masalah ini wujud di kawasan Tanah Rizab Melayu, maka ia turur mempengaruhi kelemaban dalam pelaksanaan pembangunan di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, pihak  yang bertanggungjawab haruslah menitikberatkan isu ini bagi membantu masyarakat umum khasnya bagi penduduk Melayu.

 

6.7 Isu karenah birokrasi dalam pentadbiran

Secara holistiknya, dalam mengamalkan sesuatu pengurusan sudah tentu akan melibatkan beberapa prosedur. Begitu juga halnya dalam pengurusan TRM, dalam hal ini, proses pengambilan TRM ini akan melalui banyak peringkat untuk kelulusan dan proses rundingan dengan pemilik tanah tersebut untuk di majukan. Keadaan ini akan mempengaruhi juga sistem pengurusan pihak Pentadbir Tanah. Secara tidak langsung akan melibatkan pengambilan tempoh masa yang agak lama. Situasi seperti ini, sekiranya tidak ditangani pasti mendatangkan kesan kepada pembangunan TRM tersebut. Perkara ini seterusnya akan mengakibatkan pemilik tanah tidak dapat membuat perancangan masa hadapan ke atas tanah mereka dan meletakkan mereka dalam situasi serba salah dan tidak menentu. Sehubungan itu juga satu mekanisma perlu dikenalpasti bagi mempercepatkan proses keputusan pengambilan tanah dengan mengambil kira aspek keadilan kepada pemilik tanah tersebut (Haji Salleh Buang, 2003).

 

6.8 Isu pengamalan dasar sekatan dalam TRM

Seperti yang kita ketahui, undang-undang TRM  melibatkan dua objektif yang melarang tanah kerajaan atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tanah persekutuan, daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada orang bukan Melayu dan melarang apa-apa urusniaga persendirian “private dealings” yang melibatkan hakmilik Pegangan Melayu di antara orang Melayu dan bukan Melayu. Larangan tersebut jelas telah menjadi punca permasalahan dalam melaksanakan pembanguanan TRM ini. Hal ini kerana, melalui peruntukkan dalam ERM bagi mencapai maksud larangan tersebut maka, ERM telah mengenakan beberapa sekatan antaranya adalah dari segi pelupusan. Dalam hal ini, mana-mana tanah kerajaan atau tanah Persekutuan yang termasuk di dalam satu Rizab Melayu tidak boleh diberimilik, dikeluarkan TOL atau Permit kepada orang bukanMelayu.

 

  • Pembangunan TRM ini juga amat sukar dijalankan lantaran daripada sekatan-sekatan dari segi urusniaga. Dalam hal ini, pindahmilik TRM tidak boleh dipindahmilik kepada bukan Melayu kecuali pindahmilik bersilang dengan syarat borang-borang pindahmiliknya diserahkan serentak kepada pihak berkuasa pendaftaran yang sepatutnya. Begitu juga halnya dengan proses gadaian yang dilarang oleh penduduk yang bukan keturunan Melayu. Walau bagaimanapun terdapat satu pengecualian di mana ianya boleh dibuat dengan memohon kebenaran Pihak berkuasa Negeri dengan menyatakan bahawa jika tanah yang digadaikan kepada mereka ini terpaksa dilelong maka hanya orang Melayu sahaja boleh membeli atau menangkap lelongan tersebut. Dari segi pajakan TRM juga, hanya boleh dipajakkan kepada orang Melayu sahaja. Situasi sebegini telah menyukarkan pihak berkuasa untuk melaksanakan pembangunan ke atas TRM ini akibat daripada terikat dengan struktur polisi yang terkandung dalam syarat-syarat TRM tersebut.

 

 

CADANGAN PEMBANGUNKAN TANAH SIMPANAN MELAYU

 

 

Peranan Orang Tengah
Kebiasaannya tanah rizab Melayu tidak digunakan kepada kegunaan yang lebih ekonomik kerana masih dibelenggu oleh nilai-nilai tradisi dan fahaman ortodok yang melingkari pemikiran kebanyakkan pemilik-pemilik Melayu. Hal ini menjadi masalah apabila pengusaha-pengusaha terdiri daripada kalangan orang-orang cina. Maka, mewujudkan peranan orang tengah adalah menjadi satu keperluan bagi membina satu kerjasama yang efektif agar tidak berlaku sebarang ketidakpuasan hati dan salah faham antara kedua-dua belah pihak, disamping dapat bersama-sama berkongsi keuntungan dan faedah yang diperolehi. Namun pemilihan bagi melantik orang tengah haruslah dibuat dalam kalangan orang Melayu sendiri yang mengamalkan sifat liberal dan tidak memihak mana-mana pihak agar dapat mewujudkan kerjasama yang baik dan harmoni dalam memajukan tanah-tanah rezab Melayu selagi tidak bertentangan dengan peruntukkan di dalam Enakmen Rizab Melayu yang sedang dikuatkuasakan.

b) Peruntukkan Khas Memajukan Tanah Rizab Melayu
Bagi memastikan tanah rezab Melayu dimajukan dengan lebih baik kerajaan harus menyediakan satu peruntukkan khas yang dapat memajukan tanah rezab Melayu tanpa menjejaskan keistimewaan orang-orang Melayu dan mengikut keperluan semasa. Hal ini kerana penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang rizab Melayu yang diguna pakai sehingga kini hanya memberi penekanan terhadap pemilikan dan kegunaan tanah untuk tujuan pertanian semata-mata tanpa menghiraukan kegunaan-kegunaan yang  lebih menguntungkan. Selain itu juga, perbezaan aplikasi perundangan yang berbeza antara negeri-negeri juga mengakibatkan pengurusan dan pembuatan polisi bagi tanah berkenaan sukar dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan. Oleh itu, peruntukkan yang dicadangkan ini  haruslah mengantikan enakmen-enakmen yang wujud semasa pemerintahan Inggeris kepada perundangan khas dan seragam yang diguna pakai di seluruh negeri semenanjung Malaysia serta mengambil kira nilai ekonomi di dalam memajukan tanah-tanah tersebut.

c) Latihan dan Galakan untuk Generasi Muda
Generasi muda merupakan generasi pelapis dan mampu di lenturkan. Oleh itu sekiranya ibubapa atau kaum keluarga mereka memiliki tanah-tanah yang dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu, latihan kemahiran yang merangkumi kemahiran usahawan, usahatani dan perindustrian kampung boleh diterapkan kepada mereka. Disamping itu juga, langkah ini dapat mengeluarkan mereka dari pemikiran ortodok yang diamalkan oleh orang-orang tua mereka yang telah menyebabkan sukar untuk memajukan tanah-tanah rezab Melayu. Hal ini kerana lebih mudah untuk menukar corak pemikiran anak-anak muda berbanding ibu bapa mereka. Melalui langkah ini juga,di harapkan dapat melahirkan golongan remaja desa yang berfikiran konservatif serta mempunyai kepakaran ekonomi yang berasaskan kepada sumber desa yang akan menguntungkan mereka. Pihak kerajaan melalui agensi-agensi tertentu harus menyediakan khidmat latihan dan kursus kepada anak-anak mereka yang terdiri dari golongan remaja yang berusia antara 18 hingga 25 tahun yang tidak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi atau pusat-pusat latihan kemahiran serta masih tinggal di kampung-kampung Melayu tradisi. Secara tidak langsung, langkah ini juga dapat menjauhkan remaja- remaja desa dari aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

d) Mewujudkan Pusat Pertemuan Antara Kaum Melayu dan Kaum Bukan Melayu Melayu 

 

Sistem “Pecah dan Perintah” yang diamalkan oleh pemerintah British telah mewujudkan hubungan ketidakharmonian antara Masyarakat Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu. Pengenalan sistem ekonomi dan penempatan yang berbeza-beza antara kaum telah menyebabkan jurang prasangka antara kaum menebal khusunya kaum Melayu dan Cina. Walaupun ketika zaman darurat kaum Cina dipindahkan ke penempatan baru untuk mengelakkan ejen-ejen Parti Komunis Malaya (PKM) menghasut dan mengugut mereka dan diletakkan bersebelahan dengan penempatan kaum Melayu, namun hubungan yang terjalin masih tidak utuh akibat perasaan perkauman yang masih kuat antara kedua-dua kaum. Akibatnya, sikap perkauman ini masih kekal dan masih wujud ketidaksefahaman dan syak wasangka antara kaum walaupun negara telah mencapai kemerdekaan.

Disebabkan orang-orang Melayu mempunyai pemilikan tanah-tanah rizab Melayu yang diwarisi, manakala kaum-kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina mempunyai modal dan sumber kewangan yang banyak, satu hubungan yang lebih interaktif dan muhibah antara kaum perlu diwujudkan. Oleh itu, adalah disarankan bagi mewujudkan sebuah pusat pertemuan seperti dewan atau tempat perhimpunan khusus bagi membina hubungan yang erat antara kaum serta mampu mewujudkan suasana kerjasama yang baik yang meliputi aspek-aspek sosial, ekonomi dan politik. Disamping itu juga, Penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Antara Kaum di peringkat penempatan mampu mewujudkan sebuah organisasi yang boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk kemajuan sosial, politik dan ekonomi. Ini termasuklah untuk memajukan tanah Rizab Melayu yang juga melibatkan kedua-dua kaum tersebut.

e) Pembangunan Tanah untuk Kepentingan Ekonomi Melayu

 

Kebanyakkan tanah-tanah rizab Melayu pada masa kini yang berada di kawasan pembandaran atau baru telah digazetkan sebagai Tanah Bandar di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Hal ini menyebabkan berlakunya masalah himpitan pembangunan yang telah mengakibatkan tanah-tanah ini tidak maju dan sukar untuk dibangunkan disebabkan kekangan dari peruntukan Enakmen Rizab Melayu. Kesannya, tanah-tanah ini tidak dapat dibangunkan serta pemilik-pemiliknya tidak mendapat menjana ekonomi melalui tanah miliknya. Di sebabkan kawasan perbandaran hanya sesuai dibangunkan dengan pembinaan dan menjalankan aktiviti komersial, keadaan ini telah menyebabkan tanah tersebut tidak lagi sesuai untuk pertanian kerana berada di tengah-tengah bandar dan di kawasan perbandaran di samping tanah tersebut berstatus pertanian bagi syarat kegunaannya.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini adalah dengan melupuskan syarat tanah Rizab Melayu dengan menggantikannya dengan tanah yang lain. Namun begitu, terdapat juga tanah rizab melayu yang tidak digantikan selepas tanah tersebut dilupuskan kegunaannya. Oleh itu, ekonomi orang-orang Melayu dapat dipertahankan dan diperkasakan menerusi pembangunan komersial dengan mewujudkan hab perniagaan Melayu melalui lot-lot perniagaan dalam bangunan yang dibina. Pemilik-pemilik dan penyewa lot perniagaan boleh didapati dalam kalangan orang Melayu. Di samping itu, bagi menjamin lot tersebut terus dikuasai oleh orang Melayu adalah melalui satu bentuk penjualan dan kadar sewa yang sesuai. Melalui cara ini, identiti dan jaminan keistimewaan Melayu tanpa melupuskan syarat Tanah Rizab Melayu dapat dikekalkan.

  • Pindaan Kepada Enakmen-enakmen Rizab Melayu

 

Menurut Ridzuan Awang (1994), antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan tanah-tanah simpanan melayu dapat dimajukan adalah dengan membuat tindakan-tindakan berdasarkan kepada peruntukkan kuasa yang diberikan di bawah Perkara 76 (4), Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh meluluskan Akta Rizab Melayu yang selaras dan sama di seluruh negeri di Semenanjung. Enakmen-enakmen rizab Melayu yang ada hari ini perlu digubal semula dengan melaksanakan pendekatan baru, di mana tanah rizab Melayu itu bukan sahaja perlu diberikan perlindungan, tetapi tujuannya yang lebih besar ialah pembangunan dan perlindungan. Selagi tujuan pembangunan itu tidak diserapkan dalam enakmen, selama itu tanah rizab Melayu akan tinggal terbiar dan tidak dibangunkan.

  • Mewujudkan satu peruntukkan khas bagi memajukan Tanah Rizab Melayu

Ridzuan Awang (1994) juga mencadangkan supaya penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang rizab Melayu semasa adalah lebih memberi penekanan terhadap pemilikan dan kegunaan tanah untuk tujuan pertanian semata. Kegunaan-kegunaan yang lain lebih menguntungkan kurang memberi penekanan. Selain itu juga, perbezaan aplikasi perundangan yang berbeza antara negeri-negeri juga mengakibatkan pengurusan dan pembuatan polisi bagi tanah berkenaan sukar dilaksanakan dengan lebih berkesan. Adalah dicadangkan agar enakmen-enakmen yang diwujudkan semasa pemerintahan Inggeris tersebut digantikan dengan satu akta atau perundangan khas yang seragam di seluruh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Peruntukkan akta baru yang dicadangkan mestilah mengambilkira nilai ekonomi di dalam memajukan tanah-tanah berkenaan. Walaupun demikian, perlindungan terhadap jaminan dan keistimewaan orang-orang Melayu perlu diambilkira dan mengikut dengan keperluan semasa.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s